Proses pengeluaran untuk produk tiub berkimpal dan tanpa kimpal

Terdapat dua jenis tiub yang utama, berkimpal atau tanpa kimpalan, yang berbeza sekali prosesnya:

a) Tiub berkimpal

Tiub ini dibentuk daripada produk logam rata, sama ada gegelung panjang logam, gegelung lekah (gegelung sempit yang terpisah daripada gegelung induk yang lebih lebar) atau plat lebih tebal yang dijadikan bentuk dan kemudian dikimpal. Untuk tiub yang mempunyai ketebalan dinding lebih besar, ia biasanya akan dibentuk daripada satu plat diskret yang ditekan di sekeliling pembentuk untuk menghasilkan bentuk tiub. Kemudiannya, ia boleh dikimpal jelujur sebelum dipindahkan ke unit berbeza untuk pengimpalan dan pasca rawatan. Bagi tiub yang ketebalan dindingnya lebih nipis, ia boleh dikilangkan secara berterusan dengan jalur logam dibentuk secara berperingkat-peringkat menjadi tiub melalui satu siri penggelek sebelum pengimpalan dilakukan dalam barisan. Panjang yang berterusan dipotong pada bahagian keluar barisan mengikut panjang yang dikehendaki.

b) Tiub tanpa kimpalan

Tiub tanpa kimpalan boleh dibentuk melalui gabungan laluan proses, tetapi semuanya bermula dengan bar bulat pejal logam induk.

Satu daripada proses paling biasa ialah penembusan tiub berputar, yang kadangkala dirujuk sebagai proses Mannesmann iaitu sempena nama orang yang memulakan proses ini. Lubang kecil digerudi pada satu hujung bar dan ditempatkan di dalam mesin gulung yang mengenakan daya mampat terhadap bar melalui sepasang penggelek yang dipencongkan sedikit ke garis tengah. Cara ini menghasilkan tegasan dalaman di bahagian tengah bar yang mendorongnya menjadi retak. Kemudiannya, mandrel disisipkan ke bahagian tengah bar, dan apabila penggulungan diteruskan, lubang terbentuk di sepanjang bahagian tengah bar.

Pilihan lain bagi penembusan tiub berputar ialah penyemperitan. Dalam proses ini, bilet asal mempunyai lubang asas dibuat pada bahagian tengah dengan menggerudi atau menebuk cucuk. Kemudiannya, ia dipanaskan dan diasak melalui acuan dan mandrel secara paksian untuk menghasilkan tiub panjang.

Selepas menghasilkan bentuk tiub asas, ia kemudiannya boleh dikerjakan melalui sesaran kisar untuk mengurangkan garis pusat luar (OD), garis pusat dalam (ID) dan ketebalan dinding kepada tahap tolerans dimensi yang tepat. Antaranya ialah:

i) Penarikan sejuk – iaitu tiub ditarik melalui acuan yang mengurangkan OD

ii) Penggelekan tiub – iaitu tiub digelek melalui satu siri penggelek yang mengandungi alur di dalamnya yang bersesuaian dengan OD yang dikehendaki. Mandrel silinder di bahagian dalam tiub mengawal ID akhir dan ketebalan dinding

iii) Pempilgeran – iaitu tiub turut digelek menerusi acuan beralur, dengan mandrel tirus yang sepadan dengan acuan disisipkan ke dalam tiub.